Thursday, September 30, 2010

BERITA BESAR

Dr Yusuf pagi tadi bercerita tentang hari kiamat lagi, beginilah ceritanya:


Mereka Bertanya Kerana tak Yakin.

Tentang apakah mereka bertanya-tanya?Tentang berita besar kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya. Cerita yang mereka ragu dan berselisihan mengenainya.

Janganlah mereka bersikap demikian! Mereka akan mengetahui dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu. Sekali lagi jangan! Janganlah mereka berselisihan! Mereka akan mengetahui kelak tentang apa yang akan menimpa mereka.

Mereka Ragu dan Dinyatakan Buktinya.

Mengapa kamu ragukan kekuasaan Allah menghidupkan semula orang yang telah mati? Bukanka Dia telah menjadikan bumi terbentang luas sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? Dan Dia telah menciptakan kamu berpasang-pasang? Dan jadikan tidur kamu untuk berehat? Dan jadikan malam gelap sebagai pakaian yang melindungi? Dan jadikan siang dengan cahaya terangnya untuk mencari rezeki? Dan membina di atas kamu tujuh petala langit yang kuat kukuh? Mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?

Dan menurunkan dari awan, air hujan mencurah, untuk dikeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, serta kebun yang subur bertaut pokoknya?

Diterangkan Peristiwanya.

Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan. Tatkala itu ditiupkan sangkakala, lalu kamu bangkit hidup serta datang berpuak ke Padang Mahsyar.

Pada masa itu, langit dipecah belahkan sehingga setiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas. Gunung-ganang pula setelah dihancurkan diterbangkan ke angkasa, menjadi saperti bayangan riak sinaran panas di padang pasir.

Neraka Jahannam pula disediakan. Untuk orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya. Mereka tinggal di dalamnya berkurun lamanya, tak merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman kecuali air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir, sebagai balasan yang sesuai dengan amal buruk mereka.

Sesungguhnya, mereka dulunya tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal dan mereka mendustakan dengan sesungguh akan ayat keterangan Allah tetapi setiap sesuatu bawaan hidupnya telah Allah hitungkan secara bertulis.

Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat Kami maka rasalah kamu azab yang disediakan, kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.

Sebaliknya, orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. Mereka akan beroleh taman bunga dan kebun buah-buahan, terutama anggur. Dan perawan yang sebaya umurnya. Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman.

Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta. Inilah sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup menurut yang dijanjikanNya.

Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya. Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata denganNya untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu. Tambahan pula, pada masa itu Jibril dan malaikat lainnya berdiri bersaf menunggu perintah Tuhan. Tidak ada yang berani berkata memohon pertimbangan melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.

Penutup Cerita.

Itulah keterangan mengenai hari kiamat yang sungguh tetap berlakunya. Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya dengan iman dan amal yang soleh!

Sesungguhnya dengan keterangan tersebut, Allah memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya. Iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya. Orang kafir pula akan berkata pada hari itu: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan”.

Klik sini untuk baca dan dengar selanjutnya:

An-Naba’

Siri bacaan Subuh